Catatan Yang Ditampilkan

KELAHIRAN SEKUNTUM CERMIN

Sabtu, 17 September 2022

PRAKATA

 

SAYA yakin dengan sebuah utopia: sukarnya menjadi seorang penyair. Tentu tidak memadai apabila sudah punya beberapa buah puisi atau buku antologi puisi lalu semudah itu bergelar penyair? Penyair adalah gelar besar bagi pencinta kata-kata. Penyair adalah penulis bagi karya-karya sastera yang perkasa dan mempunyai hala tuju yang jelas dalam dunia penulisan melalui genre yang dipilihnya iaitu puisi.

Bagaimanapun penyair itu merupakan seseorang yang bukan tanpa apa-apa. Penyair memiliki sesuatu yang dirasai yang mesti ditulis. Sesuatu yang ditulis itu mesti dibaca dan sesuatu yang dibaca itu mesti ada pendengarnya waima pendengarnya itu adalah dirinya sendiri. Mungkin ramai orang tidak tahu bahawa puisi itu bukan sekadar himpunan kata-kata yang terpilih. Sejumlah kata yang memukau pembaca sehingga dia menjadi sedih atau gembira, sehingga pembaca mengusap-usapkan dadanya kerana dia memahami atau telah mempelajari sesuatu daripada sebersit perasaan yang nilainya.

Lebih erat lagi pengertian puisi adalah karya sastera hasil ungkapan pemikiran dan perasaan manusia yang bahasanya terikat oleh irama, matra, rima, penyusunan lirik dan bait, serta penuh dengan makna. Puisi mengutamakan bunyi, bentuk dan juga makna yang hendak disampaikan.

Suatu karya puisi yang baik memiliki makna yang mendalam, makna diungkapkan dengan memadatkan segala unsur bahasa. Bahasa pada puisi tidak sama dengan bahasa yang kita pakai sehari-hari. Puisi menggunakan bahasa yang ringkas namun penuh makna dan kata-kata yang digunakan mengandungi banyak pengertian. Luasnya pengetahuan pembaca sangat penting saat membaca puisi, kerana untuk menemukan makna dalam sebuah puisi, pembaca harus membaca puisi dengan seksama dan memperhatikan banyak faktor dalam puisi tersebut.

Bagaimana puisi mendekati pembaca yang sering dikaitkan sebagai masyarakat bagi kebanyakan penulis? Siapakah masyarakat itu? Saya, anda atau Perdana Menteri, wakil rakyat, rakyat marhaen atau yang lebih tinggi darjat dalam kalangan rakyat biasa pada perkiraan manusiawi. Pada saya, masyarakat itu mungkin sahaja jiwa kita, kemahuan kita, kehendak kita, perasaan kita dan sebagainya. Lalu, bagaimana puisi sampai kepada masyarakat ini?

Membaca puisi secara terbuka merupakan satu pilihan. Mewajibkan puisi dibaca dalam semua acara rasmi kerajaan mungkin juga salah satu daripada banyaknya pilihan. Saya pernah bertanya, mengapa penyair menjual puisi mereka? Apakah penyair berasa puas apabila berjaya menjual puisi-puisi mereka? Mereka berpuas hati kerana harga puisi-puisi dengan nilai ringgit atau nilai yang lebih mahal daripada itu? Saya kira para penyair mempunyai nilai jawab yang tersendiri.

Dalam Kumpulan Puisi 'Menginai Badai' (DBP Sabah, 2004), sebuah puisi saya bertajuk 'Harga Puisi' merungkaikan persoalan harga dan maruah sesebuah puisi. Puisi menjadi bahan jajaan di mana-mana juga apabila ramai orang memilih genre ini termasuklah para pemimpin negara. Ini dilihat secara positif memberi tangga terbaik kepada puisi dan para penyair khususnya. Paling tidak puisi telah berada di pasaran pilihan umum. Namun demikian harga puisi semakin murah kerana mudah dibaca, dibaca tidak seperti sebenarnya sesebuah puisi itu harus dilakukan. Nilai seninya hilang hingga kepada makna yang tersirat tidak begitu diutamakan.

Tentu sahaja setiap orang yang bergelar penyair berasa bangga dan menghargai semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin yang dimulai oleh (Tun) Dr. Mahathir Mohamad pada satu ketika. Selepas itu puisi bagai 'buah-buah yang dipetik' tanpa mengira ranum atau tidak, sesuai untuk dikunyah atau tidak, lazat atau masam menjadi tidak penting. Mereka mesti ikut slogan ini: Kepimpinan Melalui Teladan. Ketua buat, semua orang kena jadikannya sebagai perintis. Tetapi bukan idola kepenyairan kerana beliau bukan seorang penyair.Tun hanya menjadikan puisi sebagai pentas untuk menyatakan pemikiran melalui emosinya. Ia terjadi pada satu suasana ketika emosinya begitu perlu disampaikan kepada orang lain melalui medium yang lain.

Saya sering menyebutkan hal ini, pertama sama ada keberadaan karya-karya ini dibaca oleh masyarakat yang dimaksudkan. Kedua, apakah kedudukan karya-karya berkenaan memberikan impak kepenyairan yang harus diberikan penilaian terbaik. Ketiga, sudah adakah kajian dilakukan untuk menyatakan para penyair berkenaan telah berjaya mempersembahkan isu-isu masyarakat, pemikiran-pemikiran masa depan mereka sehingga pada satu tahap sewajarnya kita boleh menyebut nama penyair yang terbaik. Mungkin saja semua penulis puisi kita ini adalah yang terbaik.

Pendek kata puisi perlu dibaca, dihayati, dimaknai dengan keyakinan bahawa puisi adalah karya sastera yang dilahirkan bukan semata-mata menyukainya tetapi harus lebih daripada itu.

Bukanlah sebuah utopia yang menakutkan, puisi sesungguhnya mampu diterjemahkan dalam makna yang mandiri. Seandainya ia masih tidak difahami, itu tidak bermakna puisi merupakan utopia yang sentiasa membohongi manusia. Puisi sifatnya subjektif. Puisi bukan sesuatu yang kita nampak yang boleh dinilai melalui sentuhan. Puisi juga bukan matematik yang memberikan kita sesuatu nilai yang boleh berubah-ubah. Alangkah megahnya para penyair yang membesar dalam lingkungan keberadaan yang jelas apabila ia dibaca dalam satu slogan yang berbunyi: dahsyatnya sastera Melayu! Memang dahsyat seandainya para pengagum puisi juga bersiap untuk mempelajari bagaimana puisi diiktiraf daripada pengamatan mereka. Puisi adalah kuntuman cermin yang sering memperlihatkan keinsanan insan.

Atas kecenderungan ini, dengan rendah diri, saya mengajak para penggemar puisi memilik buku ini. ‘Kelahiran Sekuntum Cermin’ menjadi buku ke-10 pernah diterbitkan. Buku ini merupakan sebuah kompilasi 50 buah puisi mutakhir yang digauli pelbagai perlambangan dan pemikiran terhadap ragam keinsanan. Segunung penghargaan buat semua guru saya yang dimulai oleh kedua ibu dan ayah, para cikgu, sahabat handai dan insan-insan yang dekat iaitu isteri dan anak-anak. Terima kasih saya pancarkan kepada tenaga kerja Iris Publishing and Distributors di bawah pimpinan Yang Berbahagia Datuk Jasni Matlani kerana berbesar hati menjadi penerbit buku ini.

Salam  takzim.

HASYUDA ABADI
Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RupHA),
Kampung Gudon, Manggatal,
Kota Kinabalu, Sabah.           

31 Mac 2021

Tiada ulasan:

Catat Ulasan