Catatan Yang Ditampilkan

KELAHIRAN SEKUNTUM CERMIN

Sabtu, 17 September 2022

 

HASYUDA ABADI atau nama sebenarnya Haji Sukor Haji Usin lahir di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah. Beliau mula menulis pada 1979 dan lebih cenderung kepada penulisan puisi di samping cerpen, esei kritikan dan drama. Hasyuda menerima Hadiah Sastera Malaysia bagi genre puisi pada tahun 1986, Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi genre puisi (2008 dan 2019) dan Hadiah Sastera Sabah pada tahun 1989, 1991, 1998, 2000, 2002, 2004, 2007, 2008, 2012, 2014, 2016, 2018 dan 2020.

Pada 2008, Hasyuda menerima Anugerah Tokoh Penyair Islam Sabah, meraih Hadiah Utama Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam 2011 anjuran DBP Cawangan Sabah melalui kumpulan puisinya berjudul 'Perlimbahan Cinta'. Hasyuda Abadi pernah mengikuti Program Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 1987 di bawah asuhan penyair dan Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan melalui Program Penulisan Majlis Bahasa dan Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Pusat Pengembangan Bahasa, Jakarta pada tahun 1997 di bawah pimpinan Allahyarham Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M dan Taufiq Ismail.

Puisi-puisi Hasyuda Abadi dimuatkan dalam 72 buah antologi puisi bersama dan 8 buah kumpulan puisi persendiriannya iaitu ‘Balada Paduka Mat Salleh’ (DBP, 1989), ‘Akar Cahaya’ (IPS, 1997), ‘Datang Kembali’ (IPS, 1997), 'Menginai Badai' (DBP, 2004), 'Sirna Sirna' (DBP, 2006), 'Kembali di Lahad Rahsia' (IRIS, 2008), ‘Suara yang Terbuka’ (ITBM, 2014) dan 'Musim Perubahan di Negeri Kami' (2021, IRIS). Cerpen-cerpen Hasyuda Abadi pula dihimpunkan dalam Kumpulan Cerpen 'Sepasang Sayap Jelita' (INPES, 2004). Sebuah buku himpunan pantun karya Hasyuda juga diusahakannya dalam 'Usul Mengenal Asal' (IPS, 2014). Hasyuda Abadi adalah ahli sepanjang hayat Ikatan Penulis Sabah (IPS), Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan ahli Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA)Hasyuda Abadi memiliki rumah puisinya sendiri, iaitu RupHA (Rumah Puisi Hasyuda Abadi) dan sebuah perpustakaan - Pustaka Iqbal Nazim yang terletak di Kampung Gudon Manggatal, Kota Kinabalu. Pustakanya ini menyimpan lebih 7 ribu judul buku pelbagai genre. Hasyuda Abadi telah bersara daripada perkhidmatan Kerajaan sejak 2015, kini menumpukan sepenuhnya dalam bidang penulisan melalui Kelab Penggiat Komuniti Buku Negeri Sabah (KEBUKU). Kini dilantik Ketua Majlis Penasihat Ikatan Penulis Sabah yang pernah diketuainya selama 20 tahun (1999-2019).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan