Sabtu, 17 September 2022
PRAKATA
SAYA yakin dengan sebuah utopia: sukarnya menjadi seorang penyair.
Tentu tidak memadai apabila sudah punya beberapa buah
puisi atau buku antologi puisi lalu semudah itu bergelar penyair?
Penyair adalah gelar besar bagi pencinta kata-kata. Penyair
adalah penulis bagi karya-karya sastera yang perkasa dan mempunyai hala tuju yang jelas dalam dunia
penulisan melalui genre yang dipilihnya iaitu puisi.
Bagaimanapun penyair
itu merupakan seseorang yang bukan tanpa apa-apa. Penyair memiliki sesuatu
yang dirasai yang mesti ditulis. Sesuatu yang ditulis itu mesti dibaca dan sesuatu
yang dibaca itu mesti ada pendengarnya waima pendengarnya itu adalah dirinya
sendiri. Mungkin ramai orang tidak tahu bahawa puisi itu bukan sekadar himpunan
kata-kata yang terpilih. Sejumlah kata yang memukau pembaca sehingga dia
menjadi sedih atau gembira, sehingga pembaca mengusap-usapkan dadanya kerana
dia memahami atau telah mempelajari sesuatu daripada sebersit perasaan yang
nilainya.
Lebih erat lagi
pengertian puisi
adalah karya sastera hasil
ungkapan pemikiran dan perasaan manusia yang bahasanya terikat oleh irama,
matra, rima, penyusunan lirik dan bait, serta penuh dengan makna. Puisi
mengutamakan bunyi, bentuk dan juga makna yang hendak disampaikan.
Suatu karya puisi yang baik memiliki makna
yang mendalam, makna diungkapkan dengan memadatkan segala unsur bahasa. Bahasa
pada puisi tidak sama dengan bahasa yang kita pakai sehari-hari. Puisi menggunakan bahasa yang
ringkas namun penuh makna dan kata-kata yang digunakan mengandungi banyak pengertian. Luasnya pengetahuan
pembaca sangat penting saat membaca puisi, kerana untuk menemukan makna dalam sebuah
puisi, pembaca harus membaca puisi dengan seksama dan memperhatikan banyak
faktor dalam puisi tersebut.
Bagaimana
puisi mendekati pembaca yang
sering dikaitkan sebagai masyarakat bagi kebanyakan penulis? Siapakah masyarakat itu? Saya, anda atau Perdana Menteri, wakil rakyat, rakyat
marhaen atau yang lebih tinggi darjat dalam kalangan rakyat biasa pada perkiraan
manusiawi. Pada saya, masyarakat itu mungkin sahaja jiwa kita, kemahuan kita,
kehendak kita, perasaan kita dan sebagainya. Lalu, bagaimana puisi sampai
kepada masyarakat ini?
Membaca
puisi secara terbuka merupakan satu pilihan. Mewajibkan puisi dibaca dalam
semua acara rasmi kerajaan mungkin juga salah satu daripada banyaknya pilihan.
Saya pernah bertanya, mengapa penyair menjual puisi mereka? Apakah penyair
berasa puas apabila berjaya menjual puisi-puisi mereka? Mereka berpuas hati
kerana harga puisi-puisi dengan nilai ringgit atau nilai yang lebih mahal
daripada itu? Saya kira para penyair mempunyai nilai jawab yang tersendiri.
Dalam
Kumpulan Puisi 'Menginai Badai'
(DBP Sabah, 2004), sebuah puisi saya bertajuk 'Harga
Puisi' merungkaikan persoalan harga dan maruah sesebuah puisi. Puisi menjadi
bahan jajaan di mana-mana juga apabila ramai orang memilih genre ini
termasuklah para pemimpin negara. Ini dilihat secara positif memberi tangga
terbaik kepada puisi dan para penyair khususnya. Paling tidak puisi telah
berada di pasaran pilihan umum. Namun demikian harga puisi semakin murah kerana mudah dibaca,
dibaca tidak seperti sebenarnya sesebuah puisi itu harus dilakukan. Nilai
seninya hilang hingga kepada makna yang tersirat tidak begitu diutamakan.
Tentu
sahaja setiap orang yang bergelar penyair berasa bangga dan menghargai semangat
yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin yang dimulai oleh (Tun) Dr. Mahathir
Mohamad pada satu ketika. Selepas itu puisi bagai 'buah-buah yang dipetik'
tanpa mengira ranum atau tidak, sesuai untuk dikunyah atau tidak, lazat atau
masam menjadi tidak penting. Mereka mesti ikut slogan ini: Kepimpinan Melalui
Teladan. Ketua buat, semua orang kena jadikannya sebagai perintis. Tetapi bukan
idola kepenyairan kerana beliau bukan seorang penyair.Tun hanya menjadikan
puisi sebagai pentas untuk menyatakan pemikiran melalui emosinya. Ia terjadi
pada satu suasana ketika emosinya begitu perlu disampaikan kepada orang lain melalui medium yang lain.
Saya sering menyebutkan hal ini, pertama sama ada keberadaan karya-karya ini dibaca oleh masyarakat yang dimaksudkan. Kedua, apakah kedudukan karya-karya berkenaan memberikan impak kepenyairan yang harus diberikan penilaian terbaik. Ketiga, sudah adakah kajian dilakukan untuk menyatakan para penyair berkenaan telah berjaya mempersembahkan isu-isu masyarakat, pemikiran-pemikiran masa depan mereka sehingga pada satu tahap sewajarnya kita boleh menyebut nama penyair yang terbaik. Mungkin saja semua penulis puisi kita ini adalah yang terbaik.
Pendek kata puisi perlu dibaca, dihayati,
dimaknai dengan keyakinan bahawa puisi adalah karya sastera yang dilahirkan
bukan semata-mata menyukainya tetapi harus lebih daripada itu.
Bukanlah
sebuah utopia yang menakutkan, puisi sesungguhnya mampu diterjemahkan dalam makna yang
mandiri. Seandainya ia masih tidak difahami, itu tidak bermakna puisi merupakan
utopia yang sentiasa membohongi manusia. Puisi sifatnya subjektif. Puisi bukan
sesuatu yang kita nampak yang boleh dinilai melalui sentuhan. Puisi juga bukan
matematik yang memberikan kita sesuatu nilai yang boleh berubah-ubah. Alangkah
megahnya para penyair yang membesar dalam lingkungan keberadaan yang jelas
apabila ia dibaca dalam satu slogan yang berbunyi: dahsyatnya sastera Melayu!
Memang dahsyat seandainya para pengagum puisi juga bersiap untuk mempelajari
bagaimana puisi diiktiraf daripada pengamatan mereka. Puisi adalah kuntuman cermin yang sering
memperlihatkan keinsanan insan.
Atas kecenderungan ini, dengan rendah diri, saya
mengajak para penggemar puisi memilik buku ini. ‘Kelahiran Sekuntum Cermin’ menjadi
buku ke-10 pernah diterbitkan. Buku ini merupakan sebuah kompilasi 50 buah
puisi mutakhir yang digauli pelbagai perlambangan dan pemikiran terhadap ragam
keinsanan. Segunung penghargaan buat semua guru saya yang dimulai oleh kedua
ibu dan ayah, para cikgu, sahabat handai dan insan-insan yang dekat iaitu
isteri dan anak-anak. Terima kasih saya pancarkan kepada tenaga kerja Iris
Publishing and Distributors di bawah pimpinan Yang Berbahagia Datuk Jasni
Matlani kerana berbesar hati menjadi penerbit buku ini.
Salam
takzim.
HASYUDA ABADI
Rumah Puisi Hasyuda Abadi
(RupHA),
Kampung Gudon, Manggatal,
Kota Kinabalu, Sabah.
31 Mac 2021
AINUL HAQ
Beberapa hari yang lepas tentang bulan, denyut bumi bertambah
disimbah cahaya, tapi yang sebenarnya cahaya itu ialah lapisan cahaya atas
cahaya mahajelas tidak seperti yang kau perhati tanpa kewujudan ainul haq. Betapa
leburnya kejadian buat hamba hanya selayak debu tak tertanding keagungan yang
diperlukan makna terhadap peristiwa itu.
Keagungan itulah yang memandu akal mentafsir
hadir sebagaimana kau fahami sesuatu yang dimiliki selain kesementaraan. Beberapa hari yang lepas kau terbabas pada
batas-batas kejadian tatkala sinar bulan yang mengambang penuh itu hanya cahaya
yang sementara kerana sumbernya sahaja yang layak memandu kebenaran hakiki.
RupHA, 2018
PERBUALAN SUNYI
Mencarimu
kutemui malam yang hilang, sapa sepi menakluk semua jejak kembali memahami
mimpi-mimpi. kubuka bungkusan masa silam tidak sekadar hadiah ulangwaktu. Malam
ini terjadi kunjungan di bawah langit tanpa warna.
Di
perut malam di hadapanku sebuah pandangan yang kecil. Perjalanan ini sebuah
segara tanpa hujung, biarlah malam terus tenggelam berulang datang akur pada
putaran masa. Masa silam juga tak henti terjadi bagai sebuah lukisan yang belum
selesai. Warna menjelma mengikut gerak berus dan sebuah naluri. Pandangan kecil
tentang malam sering mengungkap angan yang singgah, sebuah perbualan sunyi yang
mengakrabkan masa-masa silam. Malam ini kutemui sukmamu di dalam kamar yang
damai.
RupHA, 2018
MENANG YANG MELAWAN
Yang melawan akan menang.
moralnya bersarang di kepala para orang di
belakangnya. sebelum kalah merasa menang setelah
sirna moralnya di mata yang memiliki hatinya.
siapakah pemberani yang mencipta silap,
siapakah pengecut yang membina persepsi menggodam
jitu semangat?
ketika cicitku bertanya, hanya catatan ini
mampu menjawab, masa lalu yang mengancam bangsa
sedang dibina. kami, katanya pemangsa sejarah,
pejuang yang sia-sia.
kembalikan semua maruah bangsa
yang telah sirna. kembalikan jati diri yang ditelan
serakah gila. ini masa lalu yang kami miliki.
yang melawan akan menang di mana juga
zamannya.
RupHA
Kg Gudon
22 Oktober 2050
MENCINTAI TAMAN RUMAHKU
Aku
selalu ingin mencintainya. Biarlah yang berkembang di halaman rumahku
kuntum-kuntum cermin yang sentiasa memandang kembali kepada kehidupan. Biarlah
masa depan terus kutemui hal-hal mulia sebaik masa lalu yang terus mengingatkan
kekurangan. Aku ingin mengabaikan pertemuan dengan tumbuhan-tumbuhan kebencian
yang kian meliar tumbuhnya. Semakin kubersihkan semakin galak melebar tumbuh.
Bajanya adalah kebusukan yang telah dibenamkan ke permukaan. Kubisikkan pada matahari dan embun tentang gangguan-gangguan
kemurnian taman. Menanti musim yang baharu kuntuman cermin terus memancarkan
cahayanya. Aku mencintai taman rumah dalam segala tamadun dan cabaran.
RupHA
26 Mac 2018
BAJU BAHARU
Maka
begini lazimnya: ketika ditawarkan baju baharu ini aku melihat pada bajuku yang
telah lama dipakai. Mungkin ada serba sedikit kurangnya sebab baju usang warna
dah jarang. Berfikir mengapa perlu baju baharu kerana sudah ada baju yang
selesa dan besar budinya. "Jenama ini pun baharu tuan", kata sang
promoter, "memang bagus dan boleh bertahan, cantik, wangi dan
sebagainya".
Memegang
baju itu memadankan dengan baju yang dipakai, berbelah fikir, memang lawa.
Cuma terlalu ramai promoter menyampai lagu yang
sama: ubah dirimu, ini tidak sembarang baju, tidak semata baharu.
Berbulan-bulan menyaksikan peristiwa: ramai memakainya, kuingat sama sahaja.
Bajuku dengan baju baharu apa kurangnya. Andai semata baharu semua itu ditiru,
bukankah kehidupan berulang? Baharu hanya pada ruang sambil isinya lebih
kurang. Ramai menyalin baju demi baju hingga tidak tahu kesesuaian di badan.
RupHA
25 Mac 2018
MANDAT
Dari
pintu musykil aku menggali kesungguhan dan kemahuan yang bertali terus mengikat
fikiran mahu jadi apa setelah sebutir mutiara meletus menjadi arus. Aku masuk
ke dalam dan berdiri di perut maksud persoalan berurat saraf meneroka ke serata
tembok bermuka-muka membaling tohmah bersembunyi dalam batu-batu yang
dilontarkan ke sasaran.
Anak-anak
mutiara yang dilukiskan dalam dentum muslihat dan matlamat meletus satu persatu
yang disambut sorak sorai agung mengagungi dan
saling menafi. Apakah yang kudengar dan lihat ini berulang terjadi ketika
seluruh indera terbuka dalam interaksi mandat yang dibancuh semula kitaran
musim yang dinantikan pesta kuasa bermain dalam gelombang yang dipercaturkan.
Setelah melangkah ke belakang kuputuskan musykilku meletakkan segala
pertengkaran sebagai galang ganti mencari cahaya kebenaran tamadun insan.
RupHA
25 Mac 2018
BAIT BELASUNGKAWA
- Almarhum Datuk
Taufik Abu Bakar Titingan
Saban hari mendengar khabar. Memang
segalanya benar. Apa yang dikatakan-Nya
maha benar. Menatap jernih matamu, itu adalah cahaya yang kurasa tiba, tak
sempat menyentuhmu ketika semua deria telah kembali ke puncanya. Seorang insan
yang termampu baginya agar lafaznya masih ada walaupun hanya kalbunya menjadi lidah.
Kau lemah di mata semua yang berdebar-debar bakal mendengar jernih matanya
terus layu. Kau berlayar pada bahtera di samudera abadi. Aku mengenangmu, air
mata bermuara di halkum yang diam. Damai buat semua kita semua bersama memaknai
fana jiwa.
RupHA
13 Mac 2018
KELAHIRAN SEKUNTUM CERMIN
Malamku
tidak panjang semata-mata untuk tidur. Aku sering berjaga sebenarnya. Mimpi
malah membenarkan banyak peristiwa yang tidak berlaku terjadi. Ada masanya
dibayangi ketakutan yang harus diberanikan. Lestari kehidupan walaupun hanya
usikan-usikan mimpi. Aku percaya pada sapaan atau bicara sebuah kesunyian bukan
perbualan yang biasa. Meski tak semua mampu memberi lampu ajaib. Cukuplah
kelahiran sekuntum cermin di ujana hayat. Masa lalu selalu meminjamkan
cahayanya.
RupHA
13 Mac 2018
OMBAK ADALAH QASIDAH MAHA DIAM
Aku ingin
memahami pekikan yang bertali arus dari garis horizon hingga di hujung bibir
pantai. aku mendekat, sukma lautan terbentang seperti mengkhabarkan kesakitan
yang maha panjang. benar, hingga di pundak malam, ketika kuhidupkan diksi demi
diksi di hamparan sunyi, hamparan air laut terus berderai bagai tak pernah
sampai. kulelapkan mata. hatiku membuka pintu menambang qasidah maha diam paling
luluh. tak mungkin menemui apa-apa atas terhadnya mata pisau yang alah oleh
hasutan maknawi.
RupHA
13 Mac 2018
MELARIKAN MATAHARI
Berani
adalah matahari katamu semalam. Ketika awan-awan hilang, wap tidak dapat bertahan.
Aku teringat ketukan di sebelah pintu rumah tetangga. Kemudian suara anak kecil
dan suara sekor kucing. Seorang perempuan muda meninggalkan mataharinya di
hadapan teras rumah. Seekor kucing dan anak kecil. Aku tak jadi bertanya pabila
yang tinggal hanya suara. Suara yang mati sekian lama. Kata seorang tetangga
sebelah seseorang telah melarikan matahari. Keberanian telah fana di negeri
fauna, getusnya. Siapakah yang menjadi seberani itu? Dia telah derhaka pada
ketentuan Yang Menciptakan. Seekor kucing menitip cahaya suria dari jauh.
Negerinya menjadi kristal yang gelita.
Kota Kinabalu
12 Mac 2018
SEBUAH KENANGAN TENTANG KETAKUTAN
Aku membenci
kenangan, kata dari kalbu ini selalu berdendang tetapi itu detik yang paling sederhana
melupai usia. Padahal masaku sebuah pinjaman yang harus dibayar. Kenangan
mengingatkan adab tingkahlaku sekor semut yang sering menyapai bangsa di ceruk
ranjau. Tentang ketakutan di hujung perjalanan yakni kehamilan masa silam.
Setelah ia lahir tetap sahaja berlaku keganjilan dan kejanggalan keriuhan
mantik sebuah pemikiran. Aku wajar mempunyai sepi yang akan kudiami tanpa
ada lagi warna kesangsian.
RupHA
12 Mac 2018
MEMBUNUH KELALAIAN
Ini
sukma dinihari meminjamkan detik-detiknya. Sekejap lampau itulah anyunan silam
mengingatkan terlalu banyak kebaikan ditanggalkan. Lorong-lorongnya tidak
kelihatan apakah aku masih berada di bumi diri beradu di tengah percintaan yang
abadi. Ada pintu bernama SEKETIKA yang terbuka yang diingatkan mengenai
kebaikan ketika masuk dan keluar. Baki yang bersisa mungkin seketika yang lain
membunuh kelalian kelalaian pertemuan. Aku merafak pertolongan-Nya.
Danau ini sum-sum sunyi berlabuhnya rahsia diri.
RupHA
12 Mac 2018
MEMANDU RUKUN
Bekerja berpolakan akhlak menolak sorakan batil. Biar pun dindingnya kesyumulan jaga sumbernya dari ragu. Kusambut ketulusan ilmu kuketepikan zuhud palsu. Jangan sekali semaikan dendam, khianat dan iri. Jangan sekali menabur bibit wasangka di taman wangi. Mari siapkan kesiagaan membulat seperti muafakat memandu rukun, keperkasaan kalam-Nya menjadi pedoman hakiki.
RupHA
12 Mac 2018
MENGURUNG MATAHARI
Satu hari aku tidak menulis tetapi mengolah sebuah sajak menjadi jejak. Mungkin kali ini benar liang sentuhan meliar memanggang kalbu. Maaf, nafsu. Aku ketawa paling lawa - jejak bangun dari sebuah kemandulan bait-bait sangkal. Sebenarnya sangkar ini mengurung matahari, cahayanya yang klasikal, terpaku menunggu pengisytiharan muka bumi rata tanpa lautan.
RupHA
10 Mac 2018
PESAN SILAM
Barangkali kerana ikatan atau ingatan di hadapanmu aku menjadi sesuatu yang tidak menyimpan rasa biarpun ada garisan di atas dagu. Seperti orang lain dan berbangga menyalin wajah yang kian renta kerana yakin ular tak akan sirna bisanya. Selalu ku berpesan tentang silam ini seperti kelam yang enggan surut seperti laut.
RupHA
10 Mac 2018
ZIKIR DI DALAM DIAN
Seperti dian tetapi aku selalu sedar ruang demi cahaya membuka belukar keinsafan. Yang penting sumbernya apakah kerana api membulatkan cahaya atau cahaya yang hadir dalam deria. Aku tak selalu berfikir untuk menjadi pelukis yang pengecut. Ketika memulakannya dian telah khusyuk mengalirkan zikir bersama aliran cairannya yang hangat. Sumbunya kian tenggelam dan api mulai padam. Siapakah yang sempat menyaksikan dian menjadi purnama? Silakan salin segenap peristiwa.
RupHA
11 Mac 2018
MENDEFINISI MATANG
Amat malang cabaran tak membentukmu menjadi kapal besar. Malah tak menjadi apa-apa. Fikiran disama gariskan dengan emosi, robohlah hubungan banjaran kedewasaan. Kematangan itu seperti puncak, sampai masanya memandang saujana masa sudah. Peliknya ingin kembali merebah, berundur seperti menafikan kebolehan. Puncak emosi yang tak terkawalkan telah menakluk susur galur akal yang bernanah. Kau tidak sedar matahari hati telah tergelincir di ufuknya. Ternyata kearifanmu sama rata dengan anak keldai.
RupHA
9 Mac 2018
MENUKAR BANGSA
Mengapa mesti menukar bangsa? Kataku pada adik yang separa
keliru. Bangsa kita bukan bertaraf bumiputera, balasnya sambil meningkah
kebodohan manusia memahamkan, menafi hak di buminya sendiri. Buka sejarah, buka kitab*
besar negara. Di sisi Tuhan kita tidak berbangsa untuk memiliki dan dimiliki.
Yang sombong selalu alpa asalnya dari mana dan tujunya juga nanti di mana.
Jangan mudah dipersenda dik, setelah leluhur kita tiada, jangan alah oleh
gertak. Kita generasi berhak membenarkan yang benar.
RupHa
9 Mac 2018
*Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan
SEBUAH ACARA
Barangkali inilah nikmat kemakmuran bekerja bersungguh atas
mahu yang disuruh. Sebuah acara mengundang ribuan mengundang pelbagai isi
persepsi berbaur anggap dan tanggap. Beberapa hari yang lalu menyatukan fikiran
ditimbuni tindakan kepuasan dan kejengkelan. Kesibukan bertindan dan wang
bertukar tangan demi tangan. Sebuah acara menjadi obor boleh jadi lebur dibarai
hiburan yang menikam.
RupHA
8 Mac 2018
MELUKAI KEDAMAIAN
Kau bawa balik tanpa kenangan sebaliknya rindu yang amat
tenat. Kenangan seperti kulit dan rindu itu adalah isinya. Melainkan kau mulai
sebuah perjalanan dengan iman dan keikhlasan. Kenangan bagi pencinta hasil beli
belah di pasar masa sudah, kumpulan peristiwa yang akan dilupakan kecuali
sedikit. Sejujurnya rasa rindu akan memenjara hari-hari yang diam dan melukai
damai ketika kenangan tak menyertai sebuah masa sudah.
RupHA
8 Mac 2018
BERKAWAN DENGAN PERSEPSI
Seupayanya mencintai badai lebih waras daripada memarahi
keldai di padang yang kontang. Seorang bertualang hanya berkawan dengan
persepsi, apakah kau yakin perahu fikir bisa bertarung dalam kegalauan paling
puncak, celaru paling keliru. Agenda berpaut pada laut sama ada gelombang
pernah diam walau seketika. Sudah tentu kau akan mengerti putaran hidup dan
resamnya. Sudah tentu kau silap jika mengandaikannya sekadar sebuah pengalaman
kreatif. Pegang akarnya, lalu membenamkan akal budi di dalam.
RupHA
7 Mac 2018
FIKIRAN DI LADANG KEMARAHAN
Ada sekeping api terlipat semalam. Tak disedari dari benua
mana api itu mencelah. Katanya dari bawah tanah ketika angin membawanya. Ketika
jasad adalah bingkai tanpa warna.
RupHA,
7 Mac 2018
SEBUAH NEGERI SASTERA
Sebuah negeri sastera yang sarat oleh kekalutan. Kalut
jelek berpunca rasa tak enak kepada kedahuluan dari yang sepatutnya. 'Aku punya
wang. Aku punya pemikiran. Aku punya cita-cita. Aku punya mungkin bakat. Itu
aku punya suka. Salahnya apa?
Pada belahan dogma memang ada yang perlu dipeduli dan patut
dihargai. Sambil antara belahan itu perlu disikapi sampah yang dengan sengaja
diberi tantangan bau mengubah baunya dan persepsi.
Anda sepatutnya lebih besar sayang semangat itu tenggelam dalam gelora jiwa yang kelam serta berantakan.
Aku ingin ketawa, hanya baru ingin. Melihat sebuah negeri
sastera, kononnya punya lesen ketamadunan. Huh!
RupHA
6 Februari 2018
MENCARI SALAH ITU SALAH
Saya faham maksud tuan. Mencari benar dan silap dari salah
seseorang. Disebabkan sebab maka ribuan sebab lagi dipuncakan. Ini kesalahan
mencari, sejauh dalamnya dalam hingga menuai salah biarpun secuit. Terbinalah
tembok-tembok di lubuk maksud, niat disiat-siat sampai kalut. Maksud tuan
membuka kebenaran dari hasil kesalahan adalah tanggungjawab. Salah letaknya
salah tetapi mencari salah itu juga salah.
RupHA
5 Februari 2018
SYAUQ
Kautanya pada bulan -
jawabnya jauh adalah cahaya keakraban
kautanya pada laut -
jawabnya gelora adalah nafas mahabbah
kautanya pada malam -
sunyi adalah keagungan
syauq yang menyatukan Cinta.
RupHA
2 Februari 2018
KUNANG-KUNANG KEKUASAAN
Katamu, perjuangan itu kita di dalamnya, meski hanya
pengikut biasa, rantai semangat kita sama, saling menyatu, bergerak bersama! Bayangkan
andainya rantai itu terlepas atau tiada persefahaman, saling ingin melepaskan
dari acuan, dan tak terkawalkan, masing-masing memasuki lorong dan haluan yang
saling bertentangan, ibarat sungai yang tak mampu menampung airnya hingga
menyebabkan bah, meranapkan alam impian. Petaka ini katamu, lumrah manusia dan
alam memberitahu segala natijah, begitulah plot yang tak pernah disedari, namun
manusia fitrahnya tak pernah sudah untuk menangkap kunang-kunang kekuasaan.
RupHA
2 Februari 2018
RAHSIA
Seperti rongga di mata belati, tak cukup
memasung cahaya tajam, kegelapan takkan
patah biar seluas mana bahagian matahari dipinjam,
baiyah seabadi akar dari
pohonnya. Sembunyilah
selagi tidak terbongkar, riwayatmu tipis dari hijab.
RupHA
7 Oktober 2017
MAJNUN CINTA
Dini hari. Mari, katamu. Bangkitlah dan mengagungi mahabah
sunyi. Carilah dalam khusyuk majnun cinta Kekasih. Belayarlah tanpa jemu
mengalun zikir. Diam ini bergema di perut damai. Ya Rabb. Ya Rabb. Ya Rabb!
RupHA.
19 Januari 2017
KUTUKAN
Kutukan tak lagi larut lantaran tebalnya
rinda api yang membeku membalut. Api
apakah yang membatu di qalbu? Api
apakah yang melingkar di sukma?
Oh! Akal telah lebur menjadi buntu
di perut kesumat. Tunggu sebentar,
sebentar nanti, maksud kutukan akan
dijilat raksasa hingga menjadilah
peristiwa yang disukai – kehancuran
dan keleburan.
RupHA
6 Jun 2018
BAIT DI BALIK HIJAB
Di hadapan anda
setiap kata diungkap
bagai cahaya
dari satu titik
sumber
merungkai kelam
ilham
saat itu
anda juga demikian
berkata-kata
ketika suaraku tiba
di puncaknya
dan dalam
diam seketika
bicara hati kecil
sentiasa setia
menghayati hayat cahaya fikir
hidup dalam bait-bait rahsia
yang disingkap
dari hijabnya.
Dewan Kolej
Vokasional, Beaufort.
8 September 2016
TENTANG BANGSA
Ada jawapan yang sukar diterima
ketika pertanyaan mengenai
bangsa.
Kataku, bangsaku
manusia
mahluk yang berfikir
tanpa menyebut asal usul.
Yang dibanggai atau berbangga
seperti ramai taksub mengenainya
di sisiNya kita bukan siapa dan
setelah ditanya apa bangsamu.
Saat mereka bertengkar
nobatkan semangat
jati diri dibongkar.
Bangsa jadi jenama
ayahku Adam
ibuku Hawa
keluargaku umat manusia
Islam addin
tunjang kehidupan.
Pustaka Iqbal Nazim
Kg Gudon Manggatal
16 April 2016
CAKAP MACAM-MACAM, MACAM-MACAM CAKAP
Bezanya sekali
benar
selamanya wajar
dengarkan tanpa gusar
Bezanya semakin sulit
fakta berbelit-belit.
Semakin mudah diungkit-ungkit
membunuh kepercayaan
seperti menanam racun
musnah tak kelihatan
dendamnya tak kan diam.
Mulut kehidupan
tak kenal teman-temannya
waima isu-isu sang bisu
melatah merata-rata
Macam-macam percakapan
mengulas kebarangkalian
tikaman paling dalam
pendalang kebobrokan.
Bercakap macam-macam
membina lembaran kehidupan
membesarkannya dari jalan-jalan yang hina
saf-saf mulai pertaruhkan dalam kekeliruan
sejarah lidah yang tak pernah
setia.
Pustaka Iqbal Nazim
Kg Gudon Manggatal
15 April 2016
BUNGA MENYIHIR
Ujana ini menambat makna sejuta
urat rahsia
saraf sukmanya menghimpun bebenang tamadun
refleksi cuaca damai perkasihan anugerah disemadikan
dari ketiadaan nan ada tunjang menjulangkan.Tataplah
setiap urat tak terukur nilai pada pandangan
tajam, engkaukah yang membenamkan
oleh keindahan
sihir batin
sihir cinta
jemarimu merangkul rindu
setelah layu disapa kupu-kupu.
Ujana Sahara
Kg Gudon Manggatal.
15 April 2016
DALAM USRAH DIRI
Dengan
rapuh
diri
mahaMu jua
pelindung
dari
api.
Saat berada
di tengah adab mendidik aib diri
usrah menyapa selama mana bertahan
sembunyiku di daerah paling diam
kepedulian telah padam.
Mendengar madah tak lain lumrah
diksi harganya
nilai diri beratnya
menggalas andai inilah usrah
kukunjungi madrasah yang mengetuk
pintu.
Pustaka Iqbal Nazim
Kg Gudon Manggatal
14 April 2016
HUJAH-HUJAH NYALA
Kerah atas kertas
kerah hilang waras
suara tampil keras
ada hujah
hanya kerah
bahasa siasah
kau bilang
satu demi satu
siapa lagi mau
kau bilang lagi
aku mahu
kamu patuh
dengarkan kalimah
di udara atau
di suara
semakin kalut
satu persatu karut
amarah ini kubalut
kubunuh harap
tetap kejap
bukan ratap
hayat hujah
dibalas hujah
tak tewas
hujah hujah
tak parah
biarlah bernyala.
OUM
Kota Kinabalu
13 April 2016
DI BAWAH LANGIT KEADILAN
Sejarah tak
mungkin sama
tetapi ia sering berulang
begitu berkuasanya masa sudah
citra menjunjung keadilan
kucari cahaya itu dari sosok perkasa
penguasa dan pemangsa
para penjilat dan peradu domba
pencetus semarak bara sengketa
ketika bangsa masih dijajah kedaifan
selalu dibelasah oleh keangkuhan
mereka kurang mengerti basa basi
ditakluk dik tikaman demi tikaman
dan kurang berani melawan
mereka memelihara makna kepatuhan
masa lalu itu tak ada yang lain
kerana kehidupan itu berlaku
berputar waktu bezanya zaman
dan cara berhadapan
antara kebijaksanaan dan kebodohan
bagaimana manipulasi muslihat
yang bijak digari kebodohan
yang bodoh dirantai peraturan
saat mencari erti keadilan
segalanya menjadi pilihan
antara diam dungu
atau diam menunggu
ketika mara awasi kemerdekaan
yang segera berlalu dari maknanya
berkata berlapis ditepis
berkata benar menjadi onar
apakah ini takdir atau sejarah
yang terpaksa ditanggung umat
kata-kata tak mungkin biasa
kelaziman menegakkan kebenaran
keberanian perlu tertumpu
sejarah memandu arah tuju
bukan menang atau kalah
kerana sejarah tak mungkin diserlah
begitu keadilan tak punya jawapan
yang tepat kecuali perjuangan
yang tak pernah ada titik henti
ternyata sejak dahulu hingga kini
ciptalah definisi
siapa pemangsa yang memahami.
Pustaka Iqbal Nazim
Kg Gudon Manggatal
7 April 2016
SAJAK MUSIM PANAS
Kera di hutan dibagi nasi
anak di rumah dibagi mi;
Baru kawan berbasa basi
dah kahwin berbasa bisa;
Nangka pula disangka cempedak
terpalit getahnya sama sahaja;
Dulu-dulu bilang daling
kini yang dibilang lain;
Duduk sekereta romantis katanya
berjauhan bagai nak gila;
Bukan soal masa sudah
masa lalu mendengar kesah;
Ia beredar tak mungkin berputar
apatah kembali untuk berkata kesal;
Andai berfikir ke dalam akalnya
santunilah apa yang ada;
Cita-cita bersekali usaha
sesekali usrahkan semula;
Tak sempurna sebagai manusia
kita masih mulia mencarinya;
Usaha doa sabar istiqamah
sujud dan zikir,
Insya-Allah.
Pustaka Iqbal Nazim
Kg Gudon Manggatal
6 April 2016
LUPA PULA
Yang dikejar entah apakah
yang dikendong pula adakah?
Persoalannya kau lupa pula
entahkah yang dikejar itu perlu
sambil membiarkan sesuatu
yang menjadi idaman dahulu
setelah dipangkuan mula lemah
seperti daun-daun terkulai
setelah diputar oleh kehidupan
alah dek cabaran atau lupa pula
ketukan pintu Tuhan,
itu sebenarnya mengingatkan
kita sering diperbudakkan
oleh masa siang dan malam
hanya suatu keperluaan
apabila damai yang didamkan,
lupa pula menundukkan wibawa
barangkali tanggungjawab hanya
masa lampau memukau pengertian,
lupa pula lipatan kasih sayang
tak lebih semata mata kunang kunang
hilang pada siang hebat selepasnya
sampai bila membiarkan kebosanan
menjadi taman?
Pandanglah saat layu matahari
pada suara bunga melatari lestari
andai kembali menghargai
atau lupa pula mencari mimpi mimpi.
Pustaka Iqbal Nazim
Kg Gudon Manggatal
4 April 2016
TENTANG KELAM JIWA
Ketika menulis
kau tak sedar
lena dibuai ilham
bagaimana
setiap kata membius
sesekali terluka
kau ketawa
dalam lena
bertemu hujah
luar duga
luar biasa.
Bagiku bisanya, katamu
bukan biasa
agar orang tahu
membuang keliru
atau menilai
setiap hujah
adalah akalmu.
Tanpa sengaja
terbuka juga sejarah
silap sikap
lena ketika
mencipta keindahan.
Kau lupa
kerana hanya diri
dibaham ilham sendiri
Menyalahkan pengertian
dan makna yang dipilih
padahal siapa peduli.
Antara yang berakaL
dan bijak
antara yang dungu
dan dibuat kesumat
kecuali detik sedarnya.
Kembalilah
menjaga waras
tafakur sebagai hamba
tentang titik
dalam titik,
keluarlah
dari kelam
dalam hitam
jiwa.
Pustaka Iqbal Nazim
Kg Gudon Manggatal
2 April 2016
BERBEZA
ternyata biasa kecuali matahari
sebaliknya kenderaan dan lembu
yang sulit disampaikan.
Kota Belud
1 April 2016
IMPROVISASI JEDA KATA
Isssy! Jangan bertepuk tangan ketika aku membaca sajak ini. Bertenang. Tenang. Ang. Ng. g... Dengarkan kepiluanku yang bergerak lewat diammu. Dengar setiap derap gerakannya menelusuri ruang batin. Dengar gemeresik alunan sunyinya menyemi. Dan bersuara. a-a-a!
Jangan berhenti menyaksi bukan bulan bukan mimpi bukan
sepi. Hayati setiap degupan yang nalar naluri yang tuli bisikan yang bisu.
Idaplah hinggap walau silau pandang bukan merpati tapi
gagak yang galak yang sombong yang angkuh yang ego.
Ya, tiba-tiba burung-burung
malam menggoda. Menulis di kotak hatiku bagaimana bahagian sunyiku memikirkan
kecelaruan siang-siang. Di sana sini diisi sangsi. Di sana sini dihuni benci.
Di sana-sini ada duri. Aduh! Inikah pembunuhan senyap itu? Sssy! Tolong diam,
demi damai dunia seketika. Saat darah mulai membina jeda-jeda kata.
Pustaka Iqbal Nazim
Kg Gudon Manggatal
17 April 2014
MARAH
Ada dera yang tak reda
tak redha diredah. Api itu
merapi nafsu tak mampu
dipapah.
Ia membakar seluruh sukar
memagar samar.
tak sedar sukma telah pudar
akal telah nanar.
Putatan
13 April 2014
HAIWAN-HAIWAN SETELAH TERKURUNG
Haiwan-haiwan itu memandang bintang wajah seri segala kekuasaan yang diidam-idam yang tiada diam menganyam impian. Haiwan-haiwan itu tega menggapai wajah seri segala lara yang hanyir di kota-kota cinta yang tak sempurna. Haiwan-haiwan itu menjadi lebih liar mengibar kulit tua dimamah sejuta dosa dan kecewa. Haiwan-haiwan itulah menggaya serinya gala membara laga, melaga segala yang sirna harga diri musnahnya ujana maruah madani. Haiwan-haiwan itu turun dari segala gunung meraung melolong-lolong sang raja gondrong. haiwan-haiwan yang tak pernah lelah membina helah apa lagi beralih arah untuk alah. Haiwan-haiwan itu telah berkurun terkurung dalam tempurung haiwan-haiwan itu sendiri.
Telipok, Sabah.
13 April 2014
MODUS OPERANDI - sang pelupa
Tidak sulit memahami maksud yang mengakar
beza tiada malah menjalar utuh meriwayati ingkar.
Meredah arus meski api tak ada batas uji
matlamat dapat mesti didapati.
Dengan gopoh gempur bagai gerila
sisih maruah peduli apa harga diri.
Masa sudah seperti mimpi-mimpi
lupa diri dipapah angkuh, ego.
Saat bangun dipuja dipuji sempurna
berani silap langkah tapi alah bersilat fakta.
Kg Gudon
13 April 2014
SASTERAWAN BUKAN MENENTANG
Membantu rakyat juga tugas sasterawan. Saya tahu puisi tidak bisa menggantikan perabot rumah yang rosak akibat banjir. Tapi dalam puisi itu ada rintih rakyat. Dalam cerpen teradun sukma derita rakyat. Dalam novel terangkum rakaman peristiwa musibah rakyat. Apabila sasterawan bersuara dia bukan penentang kerana menentang tidak perlu menjadi sesiapa jika haknya ada di situ. Sasterawan tidak semata merakam tetapi sesekali menikam dengan harapan.
13 Februari 2014CINTA YANG CINTA
Ketika menutup pintu jangan tinggalkan dia di situ
bawalah bersama. Biarlah degupnya riuh dalam degupmu
kembara tak tahu hujungnya.
Apakah akan kembali semula ke rumah dan saling bersapa
tentang cinta yang Cinta. Kerana masa melenyapkan usia
menjadi sejarah iktibar sedar menghadapi inti debar
daun-daun mekar kembali di sisi al Jabbar.
Pustaka Iqbal Nazim
Ramin 8 Taman Puterajaya
30 Ramadan 1431H
MENULIS CINTA
Hujung malammu tak pernah kusesiakan, ketika
sedia setia kusimpan bersama mimpi-mimpi
yang sama, dapatkah lagi kukucup pipimu jika
telah luruh musim-musim masa lalu? Ya,
mari segera kembali memulai menulisnya
walau kau jauh di ufuk sunyi, dan
cinta tak pernah pergi.
Pontianak
7 Disember 2010
DINDING
Segalanya rahsia. Dipisahkan oleh dinding yang saling merakam pandangan, bagai cermin yang menelan. Di perut kaca itu ada silau cahaya di celah dinding memperlihatkan mimpi. Ada pintu yang tak terkunci tapi tak siapa sedia menyentuhnya meskipun aku. Sapaan yang terkurung antara dinding hanya diam yang tak henti bernazam. Kerana segalanya tetap rahsia.
Kota Kinabalu
14 April 2005
HASYUDA ABADI atau nama sebenarnya
Haji Sukor Haji Usin lahir di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah. Beliau mula menulis pada 1979 dan lebih cenderung kepada penulisan puisi di samping cerpen,
esei kritikan dan drama. Hasyuda menerima Hadiah Sastera Malaysia bagi genre
puisi pada tahun 1986, Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi genre puisi (2008 dan 2019) dan Hadiah Sastera Sabah pada tahun 1989, 1991, 1998, 2000, 2002, 2004, 2007, 2008, 2012, 2014, 2016, 2018 dan 2020.
Pada 2008, Hasyuda menerima Anugerah Tokoh Penyair Islam Sabah, meraih Hadiah Utama Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam 2011 anjuran DBP
Cawangan Sabah melalui kumpulan puisinya berjudul 'Perlimbahan Cinta'. Hasyuda Abadi pernah mengikuti Program Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan
Sabah pada tahun 1987 di bawah asuhan penyair dan Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Dr.
Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan melalui Program Penulisan Majlis Bahasa
dan Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Pusat Pengembangan Bahasa, Jakarta pada
tahun 1997 di bawah pimpinan Allahyarham Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M dan
Taufiq Ismail.
Puisi-puisi Hasyuda Abadi dimuatkan dalam 72 buah antologi puisi bersama dan 8 buah kumpulan puisi persendiriannya iaitu ‘Balada Paduka Mat Salleh’ (DBP, 1989), ‘Akar Cahaya’ (IPS, 1997), ‘Datang Kembali’ (IPS, 1997), 'Menginai Badai' (DBP, 2004), 'Sirna Sirna' (DBP, 2006), 'Kembali di Lahad Rahsia' (IRIS, 2008), ‘Suara yang Terbuka’ (ITBM, 2014) dan 'Musim Perubahan di Negeri Kami' (2021, IRIS). Cerpen-cerpen Hasyuda Abadi pula dihimpunkan dalam Kumpulan Cerpen 'Sepasang Sayap Jelita' (INPES, 2004). Sebuah buku himpunan pantun karya Hasyuda juga diusahakannya dalam 'Usul Mengenal Asal' (IPS, 2014). Hasyuda Abadi adalah ahli sepanjang hayat Ikatan Penulis Sabah (IPS), Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan ahli Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Hasyuda Abadi memiliki rumah puisinya sendiri, iaitu RupHA (Rumah Puisi Hasyuda Abadi) dan sebuah perpustakaan - Pustaka Iqbal Nazim yang terletak di Kampung Gudon Manggatal, Kota Kinabalu. Pustakanya ini menyimpan lebih 7 ribu judul buku pelbagai genre. Hasyuda Abadi telah bersara daripada perkhidmatan Kerajaan sejak 2015, kini menumpukan sepenuhnya dalam bidang penulisan melalui Kelab Penggiat Komuniti Buku Negeri Sabah (KEBUKU). Kini dilantik Ketua Majlis Penasihat Ikatan Penulis Sabah yang pernah diketuainya selama 20 tahun (1999-2019).
Malamku tidak panjang semata-mata untuk tidur. Aku
sering berjaga sebenarnya. Mimpi malah membenarkan banyak peristiwa yang tidak
berlaku terjadi. Ada masanya dibayangi ketakutan yang harus diberanikan.
Lestari kehidupan walaupun hanya usikan-usikan mimpi. Aku percaya pada sapaan
atau bicara sebuah kesunyian bukan perbualan yang biasa. Meski tak semua mampu
memberi lampu ajaib. Cukuplah kelahiran sekuntum cermin di ujana hayat. Masa
lalu selalu meminjamkan cahayanya.