Catatan Yang Ditampilkan

KELAHIRAN SEKUNTUM CERMIN

Sabtu, 17 September 2022

 



PRAKATA

 

SAYA yakin dengan sebuah utopia: sukarnya menjadi seorang penyair. Tentu tidak memadai apabila sudah punya beberapa buah puisi atau buku antologi puisi lalu semudah itu bergelar penyair? Penyair adalah gelar besar bagi pencinta kata-kata. Penyair adalah penulis bagi karya-karya sastera yang perkasa dan mempunyai hala tuju yang jelas dalam dunia penulisan melalui genre yang dipilihnya iaitu puisi.

Bagaimanapun penyair itu merupakan seseorang yang bukan tanpa apa-apa. Penyair memiliki sesuatu yang dirasai yang mesti ditulis. Sesuatu yang ditulis itu mesti dibaca dan sesuatu yang dibaca itu mesti ada pendengarnya waima pendengarnya itu adalah dirinya sendiri. Mungkin ramai orang tidak tahu bahawa puisi itu bukan sekadar himpunan kata-kata yang terpilih. Sejumlah kata yang memukau pembaca sehingga dia menjadi sedih atau gembira, sehingga pembaca mengusap-usapkan dadanya kerana dia memahami atau telah mempelajari sesuatu daripada sebersit perasaan yang nilainya.

Lebih erat lagi pengertian puisi adalah karya sastera hasil ungkapan pemikiran dan perasaan manusia yang bahasanya terikat oleh irama, matra, rima, penyusunan lirik dan bait, serta penuh dengan makna. Puisi mengutamakan bunyi, bentuk dan juga makna yang hendak disampaikan.

Suatu karya puisi yang baik memiliki makna yang mendalam, makna diungkapkan dengan memadatkan segala unsur bahasa. Bahasa pada puisi tidak sama dengan bahasa yang kita pakai sehari-hari. Puisi menggunakan bahasa yang ringkas namun penuh makna dan kata-kata yang digunakan mengandungi banyak pengertian. Luasnya pengetahuan pembaca sangat penting saat membaca puisi, kerana untuk menemukan makna dalam sebuah puisi, pembaca harus membaca puisi dengan seksama dan memperhatikan banyak faktor dalam puisi tersebut.

Bagaimana puisi mendekati pembaca yang sering dikaitkan sebagai masyarakat bagi kebanyakan penulis? Siapakah masyarakat itu? Saya, anda atau Perdana Menteri, wakil rakyat, rakyat marhaen atau yang lebih tinggi darjat dalam kalangan rakyat biasa pada perkiraan manusiawi. Pada saya, masyarakat itu mungkin sahaja jiwa kita, kemahuan kita, kehendak kita, perasaan kita dan sebagainya. Lalu, bagaimana puisi sampai kepada masyarakat ini?

Membaca puisi secara terbuka merupakan satu pilihan. Mewajibkan puisi dibaca dalam semua acara rasmi kerajaan mungkin juga salah satu daripada banyaknya pilihan. Saya pernah bertanya, mengapa penyair menjual puisi mereka? Apakah penyair berasa puas apabila berjaya menjual puisi-puisi mereka? Mereka berpuas hati kerana harga puisi-puisi dengan nilai ringgit atau nilai yang lebih mahal daripada itu? Saya kira para penyair mempunyai nilai jawab yang tersendiri.

Dalam Kumpulan Puisi 'Menginai Badai' (DBP Sabah, 2004), sebuah puisi saya bertajuk 'Harga Puisi' merungkaikan persoalan harga dan maruah sesebuah puisi. Puisi menjadi bahan jajaan di mana-mana juga apabila ramai orang memilih genre ini termasuklah para pemimpin negara. Ini dilihat secara positif memberi tangga terbaik kepada puisi dan para penyair khususnya. Paling tidak puisi telah berada di pasaran pilihan umum. Namun demikian harga puisi semakin murah kerana mudah dibaca, dibaca tidak seperti sebenarnya sesebuah puisi itu harus dilakukan. Nilai seninya hilang hingga kepada makna yang tersirat tidak begitu diutamakan.

Tentu sahaja setiap orang yang bergelar penyair berasa bangga dan menghargai semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin yang dimulai oleh (Tun) Dr. Mahathir Mohamad pada satu ketika. Selepas itu puisi bagai 'buah-buah yang dipetik' tanpa mengira ranum atau tidak, sesuai untuk dikunyah atau tidak, lazat atau masam menjadi tidak penting. Mereka mesti ikut slogan ini: Kepimpinan Melalui Teladan. Ketua buat, semua orang kena jadikannya sebagai perintis. Tetapi bukan idola kepenyairan kerana beliau bukan seorang penyair.Tun hanya menjadikan puisi sebagai pentas untuk menyatakan pemikiran melalui emosinya. Ia terjadi pada satu suasana ketika emosinya begitu perlu disampaikan kepada orang lain melalui medium yang lain.

Saya sering menyebutkan hal ini, pertama sama ada keberadaan karya-karya ini dibaca oleh masyarakat yang dimaksudkan. Kedua, apakah kedudukan karya-karya berkenaan memberikan impak kepenyairan yang harus diberikan penilaian terbaik. Ketiga, sudah adakah kajian dilakukan untuk menyatakan para penyair berkenaan telah berjaya mempersembahkan isu-isu masyarakat, pemikiran-pemikiran masa depan mereka sehingga pada satu tahap sewajarnya kita boleh menyebut nama penyair yang terbaik. Mungkin saja semua penulis puisi kita ini adalah yang terbaik.

Pendek kata puisi perlu dibaca, dihayati, dimaknai dengan keyakinan bahawa puisi adalah karya sastera yang dilahirkan bukan semata-mata menyukainya tetapi harus lebih daripada itu.

Bukanlah sebuah utopia yang menakutkan, puisi sesungguhnya mampu diterjemahkan dalam makna yang mandiri. Seandainya ia masih tidak difahami, itu tidak bermakna puisi merupakan utopia yang sentiasa membohongi manusia. Puisi sifatnya subjektif. Puisi bukan sesuatu yang kita nampak yang boleh dinilai melalui sentuhan. Puisi juga bukan matematik yang memberikan kita sesuatu nilai yang boleh berubah-ubah. Alangkah megahnya para penyair yang membesar dalam lingkungan keberadaan yang jelas apabila ia dibaca dalam satu slogan yang berbunyi: dahsyatnya sastera Melayu! Memang dahsyat seandainya para pengagum puisi juga bersiap untuk mempelajari bagaimana puisi diiktiraf daripada pengamatan mereka. Puisi adalah kuntuman cermin yang sering memperlihatkan keinsanan insan.

Atas kecenderungan ini, dengan rendah diri, saya mengajak para penggemar puisi memilik buku ini. ‘Kelahiran Sekuntum Cermin’ menjadi buku ke-10 pernah diterbitkan. Buku ini merupakan sebuah kompilasi 50 buah puisi mutakhir yang digauli pelbagai perlambangan dan pemikiran terhadap ragam keinsanan. Segunung penghargaan buat semua guru saya yang dimulai oleh kedua ibu dan ayah, para cikgu, sahabat handai dan insan-insan yang dekat iaitu isteri dan anak-anak. Terima kasih saya pancarkan kepada tenaga kerja Iris Publishing and Distributors di bawah pimpinan Yang Berbahagia Datuk Jasni Matlani kerana berbesar hati menjadi penerbit buku ini.

Salam  takzim.

HASYUDA ABADI
Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RupHA),
Kampung Gudon, Manggatal,
Kota Kinabalu, Sabah.           

31 Mac 2021

AINUL HAQ

 

Beberapa hari yang lepas tentang bulan, denyut bumi bertambah disimbah cahaya, tapi yang sebenarnya cahaya itu ialah lapisan cahaya atas cahaya mahajelas tidak seperti yang kau perhati tanpa kewujudan ainul haq. Betapa leburnya kejadian buat hamba hanya selayak debu tak tertanding keagungan yang diperlukan makna terhadap peristiwa itu.

Keagungan itulah yang memandu akal mentafsir hadir sebagaimana kau fahami sesuatu yang dimiliki selain kesementaraan. Beberapa hari yang lepas kau terbabas pada batas-batas kejadian tatkala sinar bulan yang mengambang penuh itu hanya cahaya yang sementara kerana sumbernya sahaja yang layak memandu kebenaran hakiki.

RupHA, 2018

PERBUALAN SUNYI

Mencarimu kutemui malam yang hilang, sapa sepi menakluk semua jejak kembali memahami mimpi-mimpi. kubuka bungkusan masa silam tidak sekadar hadiah ulangwaktu. Malam ini terjadi kunjungan di bawah langit tanpa warna.

Di perut malam di hadapanku sebuah pandangan yang kecil. Perjalanan ini sebuah segara tanpa hujung, biarlah malam terus tenggelam berulang datang akur pada putaran masa. Masa silam juga tak henti terjadi bagai sebuah lukisan yang belum selesai. Warna menjelma mengikut gerak berus dan sebuah naluri. Pandangan kecil tentang malam sering mengungkap angan yang singgah, sebuah perbualan sunyi yang mengakrabkan masa-masa silam. Malam ini kutemui sukmamu di dalam kamar yang damai.

RupHA, 2018 

MENANG YANG MELAWAN

Yang melawan akan menang.
moralnya bersarang di kepala para orang di 
belakangnya. sebelum kalah merasa menang setelah 
sirna moralnya di mata yang memiliki hatinya.
siapakah pemberani yang mencipta silap, 
siapakah pengecut yang membina persepsi menggodam 
jitu semangat?

                ketika cicitku bertanya, hanya catatan ini 
mampu menjawab, masa lalu yang mengancam bangsa 
sedang dibina. kami, katanya pemangsa sejarah, 
pejuang yang sia-sia.

                 kembalikan semua maruah bangsa
yang telah sirna. kembalikan jati diri yang ditelan
serakah gila. ini masa lalu yang kami miliki. 

                  yang melawan akan menang di mana juga 
zamannya.

 

RupHA
Kg Gudon

22 Oktober 2050


MENCINTAI TAMAN RUMAHKU

 

Aku selalu ingin mencintainya. Biarlah yang berkembang di halaman rumahku kuntum-kuntum cermin yang sentiasa memandang kembali kepada kehidupan. Biarlah masa depan terus kutemui hal-hal mulia sebaik masa lalu yang terus mengingatkan kekurangan. Aku ingin mengabaikan pertemuan dengan tumbuhan-tumbuhan kebencian yang kian meliar tumbuhnya. Semakin kubersihkan semakin galak melebar tumbuh. Bajanya adalah kebusukan yang telah dibenamkan  ke permukaan. Kubisikkan pada matahari dan embun tentang gangguan-gangguan kemurnian taman. Menanti musim yang baharu kuntuman cermin terus memancarkan cahayanya. Aku mencintai taman rumah dalam segala tamadun dan cabaran.

RupHA
26 Mac 2018

BAJU BAHARU

 

Maka begini lazimnya: ketika ditawarkan baju baharu ini aku melihat pada bajuku yang telah lama dipakai. Mungkin ada serba sedikit kurangnya sebab baju usang warna dah jarang. Berfikir mengapa perlu baju baharu kerana sudah ada baju yang selesa dan besar budinya. "Jenama ini pun baharu tuan", kata sang promoter, "memang bagus dan boleh bertahan, cantik, wangi dan sebagainya".

Memegang baju itu memadankan dengan baju yang dipakai, berbelah fikir, memang lawa. Cuma terlalu ramai promoter menyampai lagu yang sama: ubah dirimu, ini tidak sembarang baju, tidak semata baharu. Berbulan-bulan menyaksikan peristiwa: ramai memakainya, kuingat sama sahaja. Bajuku dengan baju baharu apa kurangnya. Andai semata baharu semua itu ditiru, bukankah kehidupan berulang? Baharu hanya pada ruang sambil isinya lebih kurang. Ramai menyalin baju demi baju hingga tidak tahu kesesuaian di badan.

RupHA
25 Mac 2018